Sunday, December 16, 2012

Menumis dan Tumis Darat

Assalamualaikum dan selamat sejahtera,

MISS terbahagi kepada dua iaitu menumis dan tumis darat(pandai-pandai jer, hehehe). Sebenarnya nak mula masak ni terbahagi kepada dua cara iaitu menumis atau tumis darat. Cara yang digunakan ini mengikut citarasa individu. Berdasarkan kepada pengalaman saya, dari segi rasanya juga adalah sangat berbeza. Saya suka sekiranya saya atau keluarga saya memasak dengan cara menumis. Hal ini disebabkan rempah-ratus serta bahan-bahannya memberi aroma yang sangat menarik ketika ditumis. Tumis darat pun boleh sahaja tapi bagi saya..saya agak kurang. Walauapapun, saya akan tetap makan sehingga kenyang. Menilai-menilai juga tapi makan tetap sampai kenyang. Hari ini saya ingin berkongsi sedikit dengan anda berkaitan dengan menumis dan tumis darat.

Untuk 'menumis' biasanya periuk atau kuali dipanaskan dengan minyak mengikut sukatan yang diperlukan. Apabila minyak sudah panas, bahan-bahan yang hendak ditumis seperti bawang dan sebarang perencah akan dimasukkan. Bahan-bahan ini dikacau sehingga kuning dan naik baunya. Selepas itu, barulah bahan-bahan utama seperti sayur-sayuran, udang, ikan,daging dan lain-lain dimasukkan.

Maksud 'tumis darat' ialah tumis kemudian iaitu ramuan yang hendak dimasukkan seperti sayur-sayuran dan bahan-bahan lain direbus dahulu dengan santan tanpa ditumis. Selepas sayur ini masak, masakan diangkat dan diketepikan dahulu. Bahan tumisan yang terdiri daripada bawang putih, bawang merah dan jintan manis ditumis dalam kuali panas berisi minyak. Apabila masak, tumisan ini dikacau sebentar supaya mesra dengan masakan. Selepas itu, periuk hanya ditutup untuk mengelakkan hilangnya wangi tumisan. Cara 'tumis darat' ini hanya dibuat kepada masakan sayur yang menggunakan santan dan rempah-rempah.

Selepas ini, bolehlah kiranya tuan-tuan dan puan-puan mencuba cara tumis darat ini. Rasakan kelainan dan perbezaannya.

SOALAN MINGGU INI :)

1) Masakan apa yang menggunakan cara 'tumis darat'?


Sekian terima kasih dan jumpa lagi....



(Sumber Rujukan:Buku  Makanan Tradisional Utara . Zakiah Hanum)


By Fatihah Anis





No comments:

Post a Comment