Friday, November 30, 2012

Cara Cina

Assalammualaikum dan salam 1 Malaysia..

Ni Hao Ma? Wo hen Hao. Ni Jiao Shenme Mingzi? Wo Jiao Fatihah Anis. Ni Yao Chi ma?

Bahasa Mandarin....Seronok mempelajarinya. Tidak fasih pun tapi cukuplah sekadar untuk bercakap secara asas. Memandangkan kita tinggal di Malaysia, perlu untuk kita mempelajari bahasa kaum-kaum lain bagi merapatkan hubungan sesama kita. Lebih-lebih lagi apabila saya bergelar guru nanti  kerana  akan mengajar pelajar bukan sahaja bangsa Melayu tetapi bangsa Cina dan juga India. Maka, p&p tentunya akan menjadi lebih seronok dan ceria.

Seperti biasa, entri saya kebanyakannya berkaitan dengan info-info. Kali ini, ingin saya kongsikan kepada anda semua  mengenai tips apabila berada di meja makan Cina dan tatasajian cara Cina. Kalau kaum Cina, tentunya kita akan kaitkan dengan penyepit mereka. Hidangan cina sebenarnya tidaklah serumit seperti cara barat. Pastikan anda menyediakan sudu dan garfu kerana tidak semua orang pandai menggunakan sepit.(termasuklah diri saya...).Hidangan cina seelok-eloknya menggunakan meja bulat dan mempunyai bulatan pemusing (lazy susan).

TIPS DI MEJA MAKAN:

1) Apabila menyedok sup, gunakan senduk sup yang disediakan. Jangan menggunakan sudu sup anda sendiri. Sudu sup dengan perlahan, bertertib dan tidak gelojoh.

2) Gunakan camca/sudu penghidang yang disediakan bagi setiap hidangan/makanan. Jangan sekali-kali menggunakan kayu penyepit atau garfu sendiri.

3) Lazimnya hidangan Cina diiringi dengan pelbagai sos. Pastikan anda mengambil sos ke dalam pinggan anda. Jangan sekali-kali mencelup makanan di bekas hidangan.

4) Tulang ayam/tulang ikan diletakkan di atas tepi pinggan anda atau di piring yang disediakan. Jangan sekali-kali meletakkannya di atas meja.

5) Jangan berebut-rebut. Tunggu giliran apabila memusing bulatan pemusing.

6) Jika tempat penyepit disediakan, pastikan anda meletakkannya semula apabila habis hidangan.

TATASAJIAN CINA:






Sampai di sini sahaja perkongsian saya dengan anda. .Jumpa lagi di entri yang lain. Zai jiannnnnn(bye)



(Sumber Rujukan: Buku Keraian, Perancangan, Penyediaan dan Resepi)
(Sumber Gambar: Google.Com)



By Fatihah ANis


LIM PEI YIP


Assalammualaikum dan salam sejahtera,

Apa khabar semua? Harap anda semua berada dalam keadaan yang sihat dan ceria. Kalau entri lepas, saya ada berkongsi dengan anda mengenai bahan-bahan yang digunakan dalam Bahasa Inggeris. Kali ini saya berkongsi dengan anda pula daun-daun hijau dalam Bahasa Cina. Lim Pei Yip? Tentu anda terkejut melihat tajuknya. Untuk pengetahuan pembaca blog, Lim pei Yip merupakan sebutan dalam Bahasa Cina yang membawa maksud daun pandan.  Kalau serai pula disebut Heong Mow. Ada banyak lagi yang boleh saya kongsikan dengan anda nama-nama daun hijau dalam Bahasa Cina.

Memandangkan entri kali ini kita bercakap mengenai daun-daun hijau dalam Bahasa Cina. Bolehlar kalau pergi ke pasar  dan cuba minta daun tersebut dalam bahasa cina. Itupun kalau anda membeli dari kedai Cina lar. Tak perlu rasanya kalau nak tunggu ke Negara China kan. Dari segi sebutannya…perlu anda belajar daripada  orang Cina. Takut salah sebut, lain pulak bunyinya. Nanti lain pula maksudnya. Berani mencuba ..tak salah rasanya. Apa tunggu lagi.. Mari kita berkenal-kenalan dengan daun-daun ini.

Daun Pandan (LIM PEI YIP)
Anggato keluarga pandanus, daun yang kurus panjang ini yang mempunyai alur yang dalam di tengahnya digunakan untuk memberi rasa kepada banyak masakan Asia Tenggara. Daun ini boleh ditambah apabila memasak nasi atau pencuci mulut untuk menambah keharuman. Daun pandan ini ditumbuk dan ditapis untuk mendapatkan warna dan perisanya. Selain itu, daun ini juga digunakan untuk membungkus makanan sebelum digoreng atau dipanggang, atau dibentuk menjadi bekas bagi pencuci mulut. 

Daun Pandan

Petola (SEE KUA)
Sejenis labu hijau tua sepanjang 25-30 cm berliku-liku keras, isinya lembut dan bewarna putih

Petola

Peria (FU GUA)
Sejenis labu bewarna hijau muda yang berkedut permukaannya. Sayur ini berasa pahit dan banyak digunakan dalam masakan Asia Tenggara, dalam sup, salad dan hidangan goreng kacau. Buah ini bagus untuk kesihatan buah pinggang.
Peria



Serai (HEONG MOW)
Serai ialah rumput panjang yang digunakan untuk memperisakan makanan.  Gunakan 10-12 cm pangkal batangnya. Bila dihiris dan dikeringkan, ia dapat bertahan dalam jangka masa yang sangat lama.

Serai

Daun Keledek (FARN SU MEW)
Daun dan pucuk keledek ini adalah sumber baik bagi vitamin A dan citamin c. Kupas kulitnya yang keras sebelum dimasak. Daunnya boleh rebus atau digoreng kacau.

Daun Keledek

Lobak (LOPAK)
Anggota kumpulan sawi, akar panjang bewarna putih ini berukuran 20-45cm panjang. Pilih lobak yang pejal apabila ditekan. Isinya harus rangup dan berjus.
Lobak Putih


Daun Limau Purut (FATT FOONG KUM YIP )
Daun-daun ini sering ditumbuk dengan sambal belacan untuk memberi  perisa lemon. Daun-daun ini boleh disiat-siat atau dimasukkan keseluruhannya dalam masakan. Daun limau purut boleh bertahan jika disimpan dalam beg plastik dan dibekukan. Ia mengekalkan rasa apabila dinyahdinginkan. Buahnya pula digemari kerana kulitnya.
Daun Limau Purut


Daun Ketumbar (YIM SAI)
Daun muda tumbuhan ketumbar ini digunakan dalam cara yang sama seperti daun pasli . Ia juga dikenali sebagai daun pasli cina dan sering digunakan untuk memperisakan sup dan sebagi hiasan.
Daun Ketumbar


Diharapkan semua pembaca blog dapat mengenali daun-daun hijau ini disamping dapat mempelajari sesuatu yang baru dalam Bahasa Cina. Sekian terima kasih.
 
P/S: Masih lagi dalam mood masakan Cina memandangkan baru sahaja habis membuat amali masakan cina. Nantikan mood masakan India pada minggu hadapan.1 MALAYSIA.

(Sumber Rujukan: Buku Sajian Masakan Malaysia-Lee Sook Ching)
(Sumber Gambar: Google.Com)


By Fatihah ANis

Thursday, November 29, 2012

Kenali Dunia Tauhu 2

Assalammualaikum dan Salam Muhibbah,

Adakah anda ingat lagi entri lepas mengenai tauhu.. Kita masih lagi dalam mood tauhu. Untuk pengetahuan anda semua, pagi tadi saya baru sahaja melaksanakan tugasan membuat Solok Taufu Pok. Nampak macam senang tapi agak susah sikit. Mungkin disebabkan kali pertama membuatnya.

Semasa membuat solok taufu pok ini, ada beberapa masalah yang dihadapi. Antaranya tidak mengetahu cara menggunting bahagian atas tauhu dengan betul. (reject satu tauhu sudah...) Tak mengapa..kita masih lagi dalam sesi pembelajaran. Sekiranya anda ingin belajar membuat taufu pok ini, belajarlah juga cara menggunting bahagian atasnya dengan betul dan tidak dilupakan juga kepada mereka yang berminat untuk mencuba solok taufu pok. Nantikan kemunculan resepinya. 


Sebelum itu, mari kita kenali dengan lebih mendalam lagi jenis-jenis tauhu keluaran kacang soya.


KULIT TAUHU


Batang kulit tauhu (fu chok) dan kulit tauhu kering diperbuat daripada lapisan kulit yang terbentuk apabila susu kacang soya dididihkan. Batang tauhu kering menambah perasa kepada sup, hidangan berbreas dan juga kari. Kulit tauhu pula digunakan untuk membungkus daging, makanan laut dan sayur-sayuran. Kedua-duanya boleh disimpan di dalam tempat yang sejuk dan kering dengan lamanya.


TAUHU MANIS

Tauhu manis pula dijual dengan bentuk kepingan segiempat bujur dan diperbuat daripada lapisan tebal tauhu. Ia digoreng kacau terutamanya dengan sayur-sayuran, nasi atau mi serta boleh digunakan sebagai bahan hias.



TAUHU BERLAPIS SEGAR

Tauhu berlapis diperbuat daripada kepingan tauhu basah segar yang dilipat –lipat menjadi kepingan atau gulungan tebal. Ia dibungkus di dalam plastik dan boleh disimpan di dalam peti sejuk selama dua atau tiga hari ataupun beberapa minggu di bahagian dingin beku. Tauhu ini sering dihiris dan digoreng terendam, dibreas atau direndidih.



TEMPE

Tempe berasal dari Indonesia. Tempe ini dibungkus dengan daun pisang atau plastik. Tempe juga boleh didapati di pasar pagi. Tempe diperbuat dengan mengaulkan kacang soya yang direbus dengan sejenis kulat dan dibiarkan terendam untuk memulakan fermentasi. Ia mempunyai perasa keju yang kaya dan boleh ditambah kepada hidangan gorengan ataupun dimakan sahaja dengan sambal.



TAUHU JERUK

Tauhu merah atau putih yang dijeruk direndam dengan air garam bersama nasi atau cili. Kiub tauhu yang kelihatan seperti keju ini mempunyai rasa yang unik dan menghasilkan rasa yang agak tajam dan sering digunakan dalam masakan vegetarian. Ia menimbulkan keenakan dan bau yang wangi pada hidangan sayuran.
Lam yee, iaitu jenis yang bewarna merah direndam dengan air garam serta nasi merah dan adakalanyadicampur dengan cili, manakala fu yee, iaitu jenis yang bewarna putij dan mempunyai tekstur berkrim. Kedua-duanya dijual di dalam bekas untuk dimakan bersama bubur putih ataupun dilecek dan dimasak dalam lauk berbreas atau ditumis.


TAUCO

Tauco yang bewarna perang tua, diperbuat daripada kacang soya yang dijeruk. Ia mempunyai perisa yang masin dan ketara. Tauco dijual di dalam bekas kaca dalam bentuk sebiji-biji, berupa sos pekat atau dilecek atau dipuri(tau cheong). Terdapat beberapa jenis yang dikisar dengan cili, bawang putih dan bahan perasa lain untuk mendapatkan rasa yang berlainan. Tauco sering digunakan sebagai hidangan sampingan, bahan pemerap dan sos serta ditambah ke dalam masakan gorengan untuk menimbulkan rasanya yang enak. Ia juga boleh memberi warna pada masakan gulai, berbreas ataupun pada daging.



Berakhirlah sudah info saya dengan anda mengenai tauhu-tauhu keluaran kacang soya. Insya-Allah kita bertemu lagi dalam entri lain berkaitan dengan info-info terkini. Sekian....






By Fatihah Anis

Tuesday, November 27, 2012

Kenali Tauhu

Assalammualaikum kepada semua pembaca blog yang berada di Malaysia atau yang berada di luar negara. Entri kali ini saya ingin kongsikan bersama anda tentang tauhu. Semasa kelas amali yang lalu, ramai antara kami yang terkeliru dengan tauhu. (oh tidak...tauhu pun boleh terkeliru). Tauhu yang menjadi kekeliruan kami adalah tauhu bergoreng yang diberi nama taufu pok. Macam manala rupenya?besar ke kecik..lembut ke keras. Untuk itu,  sedikit penyelidikan tentang tauhu dibuat walaupun hampir setiap hari makan tauhu.

Sempat saya meminjam sebuah buku masakan tentang tauhu dengan tajuknya "SEMUANYA TAUHU!!" Semuanya berkisar tentang tauhu. hmm..agak menarik dan boleh dikongsikan dengan rakan-rakan dan pembaca blog. Oleh itu, mari kita kenali dengan lebih dekat lagi apa itu tauhu.

Tauhu boleh didapati dalam pelbagai saiz dan berat bergantung kepada kandungan airnya. Berat dan saiz tauhu berbeza. Perbezaan sebanyak 50-60 gram bagi setiap keping tauhu tidak akan menjejaskan hasil masakan. 

Tauhu lembik(Taufu)

Suey Taufu atau tauhu lembik dalam dialek kantonis mempunyai tekstur yang lembut, halus dan licin. Ia dijual di pasar biasa dan dipotong segiempat daripada sekeping yang besar yang diletakkan di atas papan. Tauhu lembik sesuai sekali dilecek dan dikukus atau dimasak sup. Jika direndam dengan air sejuk bercampur secubit garam, tauhu lembik boleh disimpan dengan baik di dalam peti sejuk selama tiga hari.

Ada banyak jenis tauhu. Tauhu separuh lembik atau lam fuu cukup kental untuk dipotong dadu, boleh dihancurkan, dikukus dan digoreng. Tauhu separuh lembik yang dibuat tangan berbentuk bulat dan dijual sekeping-sekeping berbungkus dengan kain muslin. Anda boleh mencari tauhu separuh lembik yang dibuat dengan tangan dan dengan mesin di pasar biasa. Tauhu ini direndam dengan air untuk mengekalkan bentuknya. 

Sejenis lagi tauhu yang lembik dan bertekstur bak sutera dikenali sebagai tauhu lembut sutera (koh kap ling wat taufu). Ia dijual di dalam kotak plastik panjang atau dibungkus ketat dengan gelung plastik. Tauhu gelung ini dijual dalam jenis biasa dan jenis yang dicampur telur bewarna kuning. Ia boleh tahan berminggu-minggu jika disimpan di dalam peti sejuk. Tauhu lembut sutera boleh dikukus, dimasak dan distimbot. Ia memang sedap dimakan jika dipotong tebal-tebal, dicelup ke dalam telur yang dipukul dan tepung, dan digoreng terendam.

Chow lam taufu, iaitu tauhu separuh lembik bergoreng juga ada dijual. Tauhu ini mempunyai lapisan luar perang dan boleh dikukus. Sebelum dimasak, celur dengan air mendidih untuk menghilangkan minyaknya.


TAUHU KERAS(TAU KORN)

Tauhu keras(tau korn) berbentuk segiempat ,boleh dimasak tanpa dipotong., didadu atau dihiris untuk digoreng terendam, dibreas atau digoreng kacau.

Tauhu keras boleh dimampatkan dengan pemberat untuk  mengeluarkan airnya sehingga ia padat. Tauhu jenis ini lebih nipis dan berbentuk segiempat. Ada yang putih dan kuning(ng heong taufu kan) yang diperasakan dengan rempah five spice serbuk. Teksturnya yang licin dan lembut berisi sesuai dihiris, didadu atau digoreng dengan daging, makanan laut dan sayur-sayuran atau ditambah sahaja pada kari.


TAUHU BERGORENG
Chow Taufu, ialah taufu bergoreng dalam bentuk panjang atau segiempat. Lembut dan mudah dikunyah. Tauhu ini boleh digoreng, dibreas atau dimasak kari. Baik apabila disimpan di dalam peti sejuk dan boleh disimpan di bahagian dinginbeku dengan lebih lama lagi.

Taufu Pok ialah tauhu kering bergoreng yang bergelembung bulat atau segiempat. Bahagian luarnya bewarna perang keemasan dengan bahagian dalam yang lembut putih seperti sarang lebah. Sama ada ia disumbat dengan isi ikan atau daging, ataupun biasa sahaja, teksturnya yang mudah dikunyah memberikannya perisa yang amat ketara. Sedap sekali apabila ditambah ke dalam sup dan hidangan berbreas.






Itu sahaja untuk entri kali ini. Saya berharap anda dapat TAHU pelbagai jenis TAUHU hari ini …Jumpa lagi..Selamat Membaca…



(Sumber Rujukan: Semuanya Tauhu!! –Betty Saw)

By Fatihah Anis